Kamis, 12 Desember 2013

 
 
 
 
Universiti Tarbiyah | Saling tidak tumpah seperti orang dewasa lagaknya. Tidak mementingkan diri dan sungguh pemurah. Ya, dirinya sungguh pemurah tatkala mewakafkan rumahnya untuk kemaslahatan dakwah dan tarbiyah pada ketika itu. Tempat tinggalnya di kawasan Bukit Safa menjadi pilihan, sebagai tempat berkumpul Rasulullah S.A.W. dan para sahabat semasa dakwah masih sirriyah ( secara sembunyi).
Bukan itu sahaja! Di situ jugalah tempat Nabi Muhammad S.A.W mengajarkan wahyu kepada para sahabat dan membina kefahaman mereka. Inilah lokasi di mana sesi usrah, musyawarah,muayashah (kebersamaan) danqadhaya(perbincangan masalah) diantara Nabi S.A.W dan 40 para sahabat berlaku.
Inilah nukilan pendek kisah seorang pemuda daripada suku kaum Makhzum, Abu Abdillah al-Arqam bin Abi al-Arqam al-Makhzumi. Pemuda yang ketujuh digelar as-Sabiqun al-Awwalun, hanya berusia 16 tahun ketika memeluk Islam di saat dakwah baru sahaja berputik di bumi Mekah. Kisahnya tidaklah kerap menjadi buah mulut orang, hanya sekali-sekala meniti di bibir para pejuang di era baru. Bukanlah harta atau kuda perang yang disumbang, tetapi tempat tinggalnya yang menjadi cagaran untuk memperoleh redha dari Allah S.W.T.
Sungguh besar fungsi Rumah Arqam Bin Abi al-Arqam, tempat bermulanya proses pentarbiyahan Rasulullah S.A.W kepada para sahabat sehingga Islam mampu menguasai dunia.
 
 
Pendidikan VS. Pengajaran
Dar al-Arqam bukanlah seperti rumah biasa. Dekornya tidak mempunyai sofa lembut dan meja antik. Namun, ia dipenuhi dengan rijal-rijal dakwah yang mendambakan sentuhan dan belaian daripada seorang murabbi. Setiap jiwa yang mendatangi Dar al-Arqam, hatinya akan disentuh dan disucikan dengan wahyu Allah yang disampaikan oleh Nabi S.A.W. Itulah proses tarbiyah – proses pendidikan di zaman Rasulullah S.A.W.
Antara pendidikan dan pengajaran mempunyai perbezaan yang ketara. Orang yang mengajar hanya menyampaikan sahaja, tidak kisah sama ada orang yang menerima itu faham atau tidak apa yang diajarkan. Proses pengajaran juga lebih banyak menggunakan akal untuk menerima apa yang diajarkan. Manakala, pendidikan pula bukanlah proses sehari dua, malah berpuluh-puluh tahun lamanya.
Si pendidik akan memberi didikan sehinggalah orang yang dididiknya itu faham dan dapat mempraktikkan apa yang disampaikan. Elemen hati juga amat penting dalam memahami apa yang disampaikan. Allah S.W.T telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 151 (maksudnya):
“Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu seorang Rasul (Muhammad) dari (kalangan) kamu yang membacakan ayat-ayat Kami, menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Kitab (al-Quran) dan Hikmah (Sunnah), serta mengajarkan apa yang belum diketahui.”
Nabi S.A.W sebagai murabbi mentarbiyah para sahabat (mutarabbinya) satu persatu, sedikit demi sedikit, satu wahyu ke wahyu berikutnya secara tidak terburu-buru, supaya apa yang disampaikan baginda dapat difahami dan diamalkan setiap mutarabbinya. Dalam pada itu, Rasulullah S.A.W juga ditarbiyah secara langsung oleh Allah S.W.T. Setiap murabbi itu juga adalah seorang mutarabbi. Akan ada murabbi lain pula yang akan mendidiknya. Begitulah wasilah pentarbiyahan Rasulullah S.A.W, mendidik para sahabat di Dar al-Arqam dalam bentuk nukleus-nukleus kecil (usrah) dan juga secara beramai-ramai seperti daurah.
Sepertimana proses pentarbiyahan yang telah diguna pakai dalam madrasah Rasulullah S.A.W, itu jugalah yang perlu kita amalkan dewasa ini. Kitalah yang perlu menyambung tugas pentarbiyahan ini, saling ingat memperingati antara satu sama lain. itulah fungsinya pendidikan atau tarbiyah ini kepada kita, supaya kita sentiasa diingatkan ketika ada yang terlupa dan terlalai.
Kecemerlangan Luar Biasa!
Institusi pendidikan Rasulullah S.A.W. ini bukanlah sesuatu yang kuno dan tidak boleh diguna pakai di zaman ini. Walhal, dengan cara inilah yang telah menyebabkan Islam pada suatu ketika dahulu telah menjadi World Order atau Ustaziyatul ‘Alam kepada dunia. Dengan cara usrah dan daurah inilah, agama ini mempunyai pendokongnya – qaedah sulbah yang sentiasa memperjuangkannya.
Mana mungkin, Islam ada tulang belakang seperti Uthman bin Affan yang sangat banyak menginfakkan hartanya fi sabilillah.
Mana mungkin Saidina Hamzah sanggup berjihad mempertahankan Islam sehingga akhirnya syahid di medan Uhud.
Jika tidak kerana pentarbiyahan sebegini, mana mungkin Bilal bin Rabah sanggup menahan panas terik matahari atas dasar mempertahankan keimanannya. Inilah para graduan yang lahir dari madrasah Rasulullah S.A.W, yang berjaya dengan cemerlang dalam setiap mehnah yang dihadapinya, tidak mudah gentar dan putus asa, serta sentiasa cakna dengan isu umat di sekeliling mereka.
Institusi tarbiyah ini yang tidak hanya berlegar di zaman Rasulullah S.A.W sahaja, malah ia berterusan hingga ke zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, yang kemudiannya berkembang hingga ke zaman Umayyah dan akhirnya mencecah ke darjah yang paling tinggi pada zaman Abbasiyah.
Begitulah kisah kecemerlangan tamadun Islamiyah yang dicapai melalui proses pentarbiyahan yang dimulakan oleh Rasulullah S.A.W. Proses tarbiyah yang mesti dilalui oleh setiap seorang dari kita. Daripada tarbiyahlah, kita memahami tujuan penciptaan kita. Dengannya jugalah kita menjadi manusia berpotensi yang tidak hanya memikirkan mengenai kehidupan sendiri. Jangan hanya menjadi manusia yang menunggu-nunggu bila tarbiyah tiba, tetapi berusahalah mencarinya. Benarlah firman Allah S.W.T. dalam surah al-An’am ayat 125 (maksudnya):
Barang siapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah, Dia akan membukakan dadanya untuk menerima islam. Dan barang siapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia sedang mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar